Assalamualaikum, awak.
Ini saya, yang masih menjadi saya, seperti saya yang sebelum awak biarkan tanpa kata dulu. Saya masih saya yang dulu, yang awak tahu takkan pilih untuk bersuara, sebaliknya menulis apa yang saya rasa. Dan saya tahu, awak masih punya perangai yang sama, yang masih curi-curi baca.
So, here it goes.
Terima kasih sebab awak yang pertama hulur tangan, bantu saya bangun dari dasar kejatuhan saat saya sudah terlalu lama duduk di sorok-sorok celahan hiba, saat saya tidak lagi percaya wujudnya perkara bodoh yang namanya cinta.
Untuk pinjaman bahu tempat saya rebahkan rasa, untuk pinjaman telinga saat saya bergundah gulana tentang dia, terima kasih tak terhingga. Dalam diam, saya mula percaya "memang semua lelaki sama, cuma ikhlasnya yang membeza mereka".
Awak lelaki pertama yang suarakan mahu sunting saya, tanpa awak tahu betapa gembiranya saya. Bertahun juga rupanya kita kenal, tapi boleh dikira berapa kali cuma kita jumpa empat mata. Terpaksa, sebab jarak dan keadaan semasa saya. Tapi, semua tempat yang sebenarnya biasa, awak jadikan ia tempat saya rasa bahagia. Yang paling saya ingat, gerai cendol bawah pokok, yang mana itu rupanya pertemuan terakhir kita.
Sumpah, sampai saat saya tulis ini pun masih ada rasa rindu dalam hati saya. Mungkinnya bukan untuk awak, tapi untuk kisah yang pernah kita kongsi sama.
Sekarang awak muncul semula, setelah saya sendiri sudah tak mampu ingat berapa lama. Saya langsung tidak tahu apa tujuan sebenar awak, tapi saya mampu agak.
Bagi pihak saya, maafkan saya untuk memungkiri janji yang pernah kita buat. Awak hilang tiba-tiba, tanpa satu patah kata pun yang awak tinggalkan untuk saya. Awak buat saya terkais-kais mencari di mana letaknya silap saya. Sampai satu masa saya mula sedar yang saya harus redha bila tuhan kata hubungan kita tak ke mana, walaupun hakikatnya hati saya terlalu remuk, rabak tanpa tahu sebabnya.
Saat awak baca kata terus terang dari saya ini, saya masih pegang pada kata-kata awak "memang semua lelaki sama, cuma ikhlasnya yang membeza mereka". Dan kerana itu saya cuba buka semula hati saya untuk seseorang, yang juga saya tak tahu bagaimana pengakhiran hubungan ini. Tapi dengan izin tuhan, saya akan cuba sebaiknya, saya perlu bagi peluang untuk saya dan dia mencuba, ukirkan keikhlasan, lihat ditahap mana ia...sebab awak bilang "memang semua lelaki sama, cuma ikhlasnya yang membezakan mereka", walaupun awak sendiri yang tarik balik keikhlasan awak untuk memiliki saya.
Maafkan saya, saya perlu teruskan perjalanan saya untuk sampai ke destinasi yang saya betul-betul tuju. Tak mungkin untuk saya berpatah balik ke tempat yang mana saya pernah jatuh ke dalam gaung, hancur segala. Dan mustahil untuk saya berjalan dengan orang sama, yang bawa saya ke gaung tempat di mana saya jatuh dulu. Itu cuma akan buat saya trauma dibayangi kisah lama. Saya perlu cari destinasi baru, dan saya sedang menuju ke sana ditemani travel partner saya yang baru.
Dan saat awak baca sampai ke ayat terakhir saya nanti, mohon awak maafkan saya dengan ikhlas hati...sebab saya tak boleh penuhi hasrat awak, mencuba untuk kedua kali. Mungkin awak tak pernah rasa ditinggalkan tanpa kata. Tapi, cukup untuk saya gambarkan ia sebagai perasaan seperti awak dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan orang lain. Seksa, dan terpaksa.
Jangan risau. Tuhan sudah tetapkan segalanya. Cuma, walaupun bukan pada saya, nanti tolong ikhlaskan segalanya demi Dia. Saya doakan awak bahagia, dengan siapa pun yang awak pilih untuk jadi penghuni hati awak selamanya.
Saya doakan, dengan izin tuhan.